Search

Pemandu maut langgar lori tangki minyak

April 21, 2023

admin

PENAMPANG: Seorang lelaki maut dalam kemalangan apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar lori tangki minyak di Jalan Sapulut – Donggongon – Tambunan, dekat Kampung Madsiang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.25 pagi itu, pemandu kereta jenis Perodua Viva berusia 30 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan, Mohd Haris Ibrahim berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang datang dari arah Pekan Donggongon ke Kampung Babagon dipandu termakan jalan hingga masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, berikutan itu, Perodua Viva melanggar sebuau lori tangki minyak yang datang dari arah Keningau.

“Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa pemandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

“Kereta Perodua Viva turut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala lori hanya mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kanan sahaja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibaw ke Jabatan Perubatan Forensik HQE I untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X