Search

Aplikasi TV Sabah dilancarkan

April 22, 2023

admin

KOTA KINABALU: Aplikasi TV Sabah yang akan memainkan peranan dalam mempromosikan negeri ini dilancarkan, di sini, semalam.

Pelancaran itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian Dan Perikanan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Jeffrey berkata, pengwujudan aplikasi TV Sabah merupakan suatu langkah yang tepat pada waktunya, apatah lagi ia adalah siaran TV secara digital yang khusus oleh rakyat Sabah dengan majoriti pengisiannya tertumpu kepada negeri

“Tdak kira perkembangan berita, bakat, kebudayaan dan bermacam-macam lagi.

“Selain itu, Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri tahun ini telah disusun dengan acara-acara kemuncak seperti pertandingan Sugandoi dan Unduk Ngadau yang akan dibawakan secara khusus kepada kita semua melalui aplikasi TV Sabah

“Dengan wujudnya aplikasi TV Sabah yang mudah dimuat turun ini, ia akan mampu membawa wilayah kita lebih dekat dan lebih maju ke hadapan bersaing di dalam bidang penyiaran dalam negara,” katanya.

Beliau turut berharap kerajaan negeri akan memberikan sokongan serta bantuan terhadap usaha murni TV Sabah untuk menjadikan platform ini sebagai medium ekspresi dan komunikasi untuk rakyat Sabah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV Sabah, Suzanne Lujain-Bingkasan berkata, aplikasi berkenaan akan mempromosikan Sabah sebagai wilayah yang kaya dengan budaya dan warisan tradisi, serta ekosistem semula jadi yang menjadi tarikan utama destinasi pelancongan.

“Ia juga bakal membawakan berita terkini dan menyajikan pengisian program yang berbentuk pendidikan, hiburan dan perniagaan kepada para penonton khususnya rakyat sabah,” katanya. – Info X