Search

Pengorbanan pegawai, anggota JPST bertugas di 1 Syawal

April 22, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ketika umat Islam berkumpul bersama keluarga meraikan 1 Syawal, namun pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah terus menggalas tanggungjawab penugasan Op Selamat 20 Hari Raya Aidilfitri di lapangan.

Ini bagi memastikan keadaan aliran trafik berjalan lancar dan memudahkan pengguna jalan raya bergerak lancar ke destinasi yang dituju bersesuaian dengan tema ‘Rumah selamat, Selamat sampai ke destinasi’.

Ketua JSPT, Superintendan Rosdi Mat Jusoh turut menjalankan pemantauan hari ini di beberapa lokasi Op Selamat 20 iaitu Penampang, Papar dan Beaufort.

Rosdi membuat tinjauan anggota JSPT yang bertugas Op Selamat 20 sempena Hari Raya Aidilfitri di Beaufort.

Katanya, dalam pemantauan itu, laluan Bongawan ke Beaufort agak perlahan disebabkan berlakunya kemalangan.

“Namun secara keseluruhan di kawasan pemantauan, keadaan aliran trafik tenang dan terkawal.

“JSPT IPK Sabah juga telah mengatur penugasan Pegawai Zon untuk membuat pemantauan di seluruh Sabah.

“Sehubungan itu, dinasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. Jangan memandu dalam keadaan yang mengantuk, memandu laju, dalam keadaan tergopoh gapah dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Rosdi berkata, pemantauan ke Op Selamat 20 juga bagi menyantuni petugas di lapangan bagi menaikkan moral dan memberi memberi sokongan kepada pegawai dan angota trafik yang bertugas dilapangan.

Sepanjang Op Selamat 20 Hari Raya Aidilfitri yang bermula 20 hingga 27 April, seramai 460 pegawai dan anggota JSPT Sabah akan digerakkan bagi memastikan kelancaran aliran trafik di negeri ini. – Info X