Search

Lelaki maut jatuh dari tingkat lima hotel di Tanjung Aru

April 22, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan hotel di Tanjung Aru, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.10 petang itu, mangsa berusia 36 tahun terjatuh sehingga ke beranda tingkat satu bangunan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.15 petang.

Katanya, sepasukan anggota bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, terdapat mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat lima ke beranda tingkat satu bangunan berkenaan.

“Pasukan bomba menjalankan operasi membawa turun mangs ke bawah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi kemudian ditamatkan pad 6.42 petang,” katanya. – Info X