Search

Isteri rentung, suami parah melecur

April 23, 2023

admin

KUALA PENYU: Seorang suami nekad meredah api marak demi menyelamatkan isterinya yang terperangkap dalam kebakaran di rumahnya, namun usahanya tidak kesampaian apabila isterinya itu rentung di Kampung Gerowot, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, Jumin Ansiu, 52, melecur pada atas lengan kiri dan kanan serta bahu dan belakang badannya dan dikejarkan ke Hospital Kuala Penyu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Isterinya Ninik Yanuwati, 48, ditemui rentung di ruang tamu tingkat dua manakala dua anak pasangan terbabit iaitu Ellisa Easwerina Christy Jumin, 13, dan Marathon Wilson Abed Nego, 9, serta ibu Jumin Sinap Suram, 78, selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Awang Mohd Sabree berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.57 pagi.

Katanya, seramai 14 pegawai dan anggota bersama jentera digerakkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat terbakar 80 peratus. Turut terbakar sebuah kereta jenis Proton Iswara.

“Sebaik api berjaya dipadamkan, terdapat seorang mangsa wanita ditemui rentung di ruang tamu tingkat dua dan seorang lagi mangsa lelaki iaitu suami mangsa melecur dibadannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa dipercayai terperangkap dan cuba diselamatkan oleh suaminya namun gagal sebelum isterinya ditemui rentung manakala Jumin melecur.

“Mangsa rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi pemadaman ditamat jam 10.10 pagi. – Info X