KOTA KINABALU: Bagi meringankan beban mangsa kebakaran di Jalan Saga Likas, di sini, semalam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu tampil menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran.
Sumbangan berupa barang keperluan asas termasuk lampin pakai buang, wang tunai dan pakaian diserahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah kepada keluarga mangsa kebakaran yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Likas, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, sumbangan itu menunjukkan keprihatinan PDRM terhadap saudara yang mengalami ujian di musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, Program Ziarah Kasih dilaksanakan bagi menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan asas, wang tunai dan pakai kepada mangsa kebakaran.
“Kami terpanggil untuk menyantuni mangsa kebakaran sebagai tanda simpati, prihatin dan juga tanda kasih sayang kami sebagai pasukan PDRM kepada mangsa kebakaran yang dilanda musibah pada Hari Raya Kelima.
“Dalam kita meraikan Hari Raya, sahabat kita di kampung ini diuji dengan insiden yang berat iaitu kebakaran,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran.

Mohd Zaidi berkata, sumbangan yang dianggarkan bernilai RM5,000 itu dikumpulkan daripada warga IPD Kota Kinabalu sendiri.
“Kami berharap sumbangan ini akan dapat meringankan sedikit bebanan mangsa kebakaran ini.
“Lebih penting ia dapat menyampaikan mesej bahawa PDRM terutamanya IPD Kota Kinabalu amat prihatin, tersentuh dan turut simpati dengan nasib yg dialami oleh mangsa bencana kebakaran selaras moto PDRM ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zaidi turut menasihatkan orang awam yang masih menyambut Hari Raya supaya memastikan keselamatan diri sendiri dan harta benda sentiasa terjaga bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden termasuk kebakaran di tempat tinggal. – Info X