Search

Sabah FC menang lagi di Likas

April 27, 2023

admin



KOTA KINABALU: Sabah FC sekali lagi membuktikan betapa Stadium Likas merupakan kubu kuat mereka selepas berjaya menundukkan Selangor FC 2-1 dalam aksi Liga Super, malam ini.

Saddil Ramdani membuka tirai jaringan buat pasukan tuan rumah pada minit ke-64, hasil sepakan penalti selepas sebelum itu Baddrol Bakhtiar dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun pada minit ke-51, Selangor FC berjaya menyamakan kedudukan menerusi cubaan Faizal Halim yang terkena palang gol sebelum bola melantun kencang ke bawah dan terus masuk ke gawang.

Pada minit ke-64, Baddrol kembali meletakkan skuad Badak di hadapan hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti yang terus menerjah jaring.

Secara keseluruhan, kedua-dua pasukan bermain sama kuat dengan masing-masing berbalas serangan dan cubaan demi cubaan bermula dari seawal minit pertama permainan sehingga wisel penamat.

Kedua-dua pasukan dilihat sentiasa mencari peluang, namun sikap berhati-hati pertahanan masing-masing, di samping kesilapan beberapa percaturan dan gerakan menggagalkan usaha mencipta gol.

Aksi mendebarkan sejak babak pertama bertambah panas sepanjang babak kedua, terutama dengan masa tambahan yang berpanjangan sehingga minit ke-100 pasti sangat membimbangkan Sabah selaku pendahulu permainan.

Namun, Sabah akhirnya berjaya mengekalkan kedudukan 2-1, sekali gus menambah tiga mata untuk naik ke tangga ketiga carta Liga Super, malam ini. – Info X