TUARAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menerima 20 jahitan di muka selepas dipukul sekumpulan remaja lelaki di perkarangan Commercial Centre Taman Telipok Ria, di sini, 18 April lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dipercayai dipukul menggunakan senjata jenis ‘buckle’ tali pinggang.
Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Tuaran oleh ibunya sebelum membuat laporan polis pada 19 April.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Noraidin Awang Maidin berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian daripada ibu mangsa.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati sekumpulan remaja dari perumahan Taman Telipok Ria, telah bergaduh secara beramai-ramai dengan sekumpulan remaja dari perumahan Taman Tuaran Impian.
“Ketika kejadian berlaku mangsa yang cedera kebetulan berada di tempat kejadian.
“Pergaduhan itu didapati berpunca daripada perbuatan ejek-mengejak antara kedua-dua kumpulan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pada 20 April sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran menahan seorang remaja lelaki yang disyaki terbabit dalam kes merusuh dan dibawa ke IPD Tuaran untuk soal siasat.
“Hasil soal siasat, jam 1 tengah hari, pada 25 April seorang lagi remaja lelaki ditahan di Taman Telipok Ria untuk siasatan berhubung kes yang sama.
“Polis dalam usaha mengesan kesemua individu yang terbabit dalam pergaduhan berkenaan yang masih bebas,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, siasatan pergaduhan berkenaan hanya membabitkan kumpulan remaja secara rawak dan tidak ada membabitkan kumpulan gangsters.
“Orang ramai dinasihatkan supaya bertindak pantas untuk menghubungi polis sekiranya insiden seperti ini berlaku dan orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat kepada polis terutamanya yang berlaku di sekitar daerah ini supaya tindakan dapat diambil dengan segera.
“IPD Tuaran akan sentiasa mengambil perhatian yang serius dan tindakan sewajarnya berkenaan maklumat yang disalurkan di sekitar daerah ini,” katanya. – Info X