Search

Belanja guna kad ATM orang lain, remaja perempuan dicekup

April 27, 2023

admin

TAWAU: Tindakan seorang remaja perempuan berbelanja sakan menggunakan kad ATM orang lain menerima padah apabila ditahan polis, semalam.

Suspek berusia 19 tahun itu ditahan jam 10 malam di sebuah restoran makanan segera di Taman Megah Jaya, di sini, selepas polis menerima laporan daripada pemilik sebenar kad ATM berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian itu disedari oleh pemilik kad ATM apabila menerima pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan berlaku transaksi pembelian menggunakan kad ATM milik pengadu dengan secara ‘Pay Wave’ di sebuah restoran makanan segara.

Kad ATM digunakan suspek dirampas semula. – Foto PDRM

Katanya, hasil semakan melalui aplikasi online bank juga mendapati wang dalam akaun milik pengadu turut berkurangan.

“Pengadu kemudiannya membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

“Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan remaja perempuan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anggota polis turut menahan seorang lelaki berusia 24 tahun iaitu adik tunang remaja perempuan berkenaan.

“Soal siasat mendapati lelaki itu yang menemui kad ATM di tempat cuci kereta di Kabota sebelum diserahkan kepada remaja perempuan terbabit.

“Pemeriksaan juga mendapati sebanyak RM1,160.90 dibelanjakan oleh suspek dari akaun pengadu termasuk membeli makanan di restoran makanan segera berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya. – Info X