Search

Satu maut, empat parah kemalangan dua kenderaan

April 28, 2023

admin

PUTATAN: Seorang lelaki maut manakala empat parah dan dua cedera ringan dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Papar – Kota Kinabalu, dekat sebuah pasar raya, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Perodua Alza, jam 2.35 pagi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Katanya, siasatan awal mendapati Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun yang datang dari arah Papar Ke Kota Kinabalu dipercayai melanggar belakang Perodua Alza yang datang dari arah sama.

“Susulan itu Perodua Alza terbabas di kiri jalan dan menyebabkan pemandu lelaki berusia 19 tahun, tiga penumpang masing-masing berusia 20 tahun parah dan dua lagi penumpang berusia 20 dan 21 tahun cedera ringan.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pada 5.58 pagi, pegawai perubatan HQE I mengesahkan salah seorang penumpang Perodua Alza meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, pemandu Toyota Hilux yang turut parah dihantar ke HQE I, untuk rawatan lanjut.

“Pemeriksaan turut mendapati Perodua Alza mengalami kerosakan di bahagian belakang manakala Toyota Hilux mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya. – Info X