Search

Adik maut, abang cedera kemalangan di Beluran

April 28, 2023

admin

BELURAN: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang abangnya terbabit kemalangan dengan lori tangki di Jalan Paitan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, mangsa berusia 14 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala abangnya berusia 18 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati lori tangki yang membawa muatan minyak sawit mentah (CPO) dan motosikal dinaiki dua beradik berkenaan masing-masing dari arah yang sama.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tangki dan motosikal dari Pitas menuju ke Paitan.

Lori tangki yang terbabit kemalangan di Beluran. – Foto PDRM

“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal yang berada di hadapan tiba-tiba membelok ke sebelah kanan menyebabkan lori tangki yang berada di belakang tidak sempat mengelak dan berlaku perlanggaran.

“Akibat kejadian itu, pembonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X