TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing di rumah tidak bernombor di Batu 4, di sini, semalam selepas disyaki terbabit curi motosikal.
Suspek berusia 64 ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau jam 3.30 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, sejurus menerima laporan berkaitan kejadian curi motosikal sepasukan polis dari BSJ IPD Tawau membuat serbuan dan menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal.
Katanya, hasil pemeriksaan di kawasan sekitar rumah suspek, menemui sebuah motosikal model Lagenda 115Z merah hitam yang dilaporkan hilang pada 20 Jun 2021.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke IPD Tawau untuk membantu siasatan.
“Kes siasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Champin berkata, orang awam dinasihatkan supaya peka dengan soal keselamatan harta benda khususnya motosikal.
Katanya, gunakan kunci tambahan keselamatan pada motosikal dan sekiranya terdapat individu atau kumpulan yang mencurigakan di kawasan awam segera laporkan kepada pihak polis. – Info X