KOTA KINABALU: Kementerian kesihatan sedang melakukan pemantauan secara khusus mengenai kesan fenomena cuaca panas melampau terhadap kesihatan orang awam di negara ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, tindakan itu diambil berikutan kes kematian akibat strok haba membabitkan dua kanak-kanak di kelantan pada selasa.
“Walaupun dia satu fenomena global tapi kalau dah ada kesan di negara kita, kena ambil pemantauan yang lebih khusus.
“Sudah pasti juuga kita berikan nasihat kepada ibu bapa untuk menjaga anak-anak masing-masing tapi dalam masa yang sama kita akan tengok juga berapa banyak kes itu dari hari ke hari serta mengambil langkah-langkah yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri sesi town hall kertas putih kesihatan peringkat zon Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.
Sementara itu, Zaliha berkata, beliau masih menunggu laporan penuh bedah siasat kedua-dua mangsa berkenaan bagi memastikan punca sebenar kematian selain mengingatkan orang awam agar mengelakkan diri daripada berada di luar sewaktu cuaca panas.
“Kita tidak boleh ambil mudah kerana sudah ada kes kematian…bagaimanapun, saya masih menunggu laporan sama ada betul atau tidak kes ini ada kaitan dengan heat strock ataupun mungkin ada penyakit lain di samping itu.
“Kita kena ambil tahu juga mungkin kanak-kanak itu ada sakit seperti dia ada cirit birit sebelum itu jadi mungkin boleh menambahkan lagi keterukan kepada simptom yang sedia ada,” katanya.
Terdahulu, Muhamad Syamil Aqil dan Nur Imani Ahmad Faris Fazli masing-masing berusia 11 dan setahun dilaporkan maut pada selasa akibat strok haba.
Hasil laporan awal menunjukkan kedua-dua mangsa mengalami demam, dehidrasi, dan cirit birit selain organ dalaman penting seperti paru-paru dan buah pinggang turut dilaporkan kering sewaktu bedah siasat dilakukan. – Info X