KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri jenis pump gun ketika bermain dengan rakannya di Kampung Sosogoh Salong Pagalungan, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Nor Rafidah Kasim berkata, mangsa berusia tujuh tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Nabawan.
“Kes dikesan ketika pihak polis menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Nabawan yang memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Hasil siasatan mendapati mangsa terkena tembakan senapang buatan sendiri jenis ‘pump gun’ oleh rakan yang bermain bersamanya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan tujuh individu dan merampas selaras senjata api buatan sendiri jenis pump gun untuk siasatan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X