Search

Rumah terbuka Aidilfitri rapatkan silaturahim – KPD Kota Kinabalu

May 1, 2023

admin

KOTA KINABALU: Kesibukan pasukan keselamatan dalam menjalankan tugas menjaga keamanan dan ketenteraman awam tidak menjadi penghalang bagi mereka sama-sama meraikan Aidilfitri dengan mengadakan rumah terbuka bersama anggota, pengamal media dan orang awam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah yang mengadakan rumah terbuka Aidilfitri, di sini, hari ini, berkata, majlis yang diadakan itu juga adalah selaras dengan motto Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis dan Masyarakat berpisah tiada.

Katanya, rumah terbuka Aidilfitri itu diadakan adalah bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama erat antara semua pihak yang banyak memberi kerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
 
Beliau berkata, disamping meraikan Aidilfitri, pihak PDRM ingin terus menjalin hubungan erat serta bersama semua pihak terlibat serta sebagai tanda penghargaan membantu PDRM dalam pelbagai aktiviti mencegah jenayah dan kepolisan.
 
“Majlis ini diadakan dengan tujuan untuk bersama-sama meraikan dan juga untuk mengeratkan lagi hubungan ataupun di kalangan pegawai-pegawai polis, anggota-anggota polis dan juga pegawai-pegawai awam.



Antara pengamal media yang hadir ke majlis rumah terbuka Aidilfitri Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah (empat dari kanan).

“Selain itu, ia juga untuk meraikan pengamal media dan orang awam yang sentiasa membantu pihak PDRM dalam mencegah jenayah serta menjaga keselamatan, khususnya di daerah Kota Kinabalu ini.

“Semoga dengan adanya majlis seperti ini kita akan dapat mengeratkan hubungan, bermaaf-maafan, dan terus mengeratkan silaturahim,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Terdahulu, selain pegawai dan anggota polis dari IPD Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya, majlis rumah terbuka Aidilfitri itu turut dihadiri oleh orang awam.

Pelbagai hidangan makanan dan minuman turut disajikan kepada orang ramai yang hadir ke jamuan berkenaan. – Info X