TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru semua kumpulan etnik dan subetnik di Sabah meningkatkan usaha mempromosi dan mempamerkan budaya masing-masing sebagai langkah memantapkan perpaduan melalui suai kenal budaya dalam kalangan rakyat.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan terhadap seruan itu bagi memelihara serta memartabatkan setiap budaya yang wujud di negeri berkenaan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan
“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sambutan dan program kebudayaan serta keagamaan. Kita percaya program kebudayaan dapat memantapkan lagi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan memberi peluang untuk kita mengenali, memahami serta menghargai adat dan budaya suku kaum masing-masing.
“Kepelbagaian budaya dan warisan dengan keharmonian 35 etnik dan 217 subetnik di Sabah telah menjadikan ‘Negeri Di Bawah Bayu’ sebagai bumi yang unik bagi setiap rakyat dan tetamu yang bertandang ke negeri ini.
“Justeru, ini amat signifikan dengan usaha kerajaan untuk memartabatkan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan. Budaya merupakan aspek penting dalam kehidupan kita yang menjadi identiti sesuatu etnik dan harus dipelihara serta dimartabatkan untuk kepentingan semua”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Hajiji turut menyeru semua pihak di negeri itu bekerjasama menjayakan sambutan Pesta Kaamatan yang akan berlangsung di setiap peringkat di negeri sepanjang bulan Mei ini.
Pesta Kamaatan, katanya, merupakan wadah untuk mengeratkan silaturahim dan perpaduan di antara sesama saudara mara selain meraikan rasa syukur terhadap hasil tuaian padi yang baik.
Beliau juga berharap agar rakyat Sabah secara amnya dapat menghayati sambutan Pesta Kaamatan bagi mengekalkan persefahaman dan keharmonian dalam kalangan rakyat di negeri tersebut.
“Saya mengajak semua pihak untuk sama sama menyertai dan menjayakan sambutan Tadau Kamaatan di peringkat daerah, kampung mahu pun organisasi masing-masing.
“Sepanjang tempoh sebulan ini, pastinya banyak sambutan Kaamatan yang akan diadakan dalam pelbagai peringkat di seluruh negeri.
“Saya berharap semangat perayaan Pesta Kaamatan ini akan terus kita hayati demi kestabilan, keamanan, persahabatan serta kemakmuran negeri dan rakyat pada keseluruhannya,” katanya lagi. – Info X