KOTA KINABALU: Umpan vape perisa baru sebelum merogol tiga remaja perempuan termasuk seorang pelajar sekolah masing-masing berusia 13 tahun.
Itulah taktik jahat empat lelaki yang ditahan polis selepas merogol ketiga-tiga mangsa di sebuah rumah tumpangan di kawasan Kampung Air, di sini, 26 April lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada salah seorang mangsa pada 27 April lalu yang menyatakkan menjadi mangsa rogol berkumpulan di sebuah rumah tumpangan.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian rogol berkumpulan itu turut membabitkan dua lagi rakannya dan empat lelaki yang tidak dikenali dan seorang perempuan berusia 17 tahun terbabit kejadian dalam kejadian itu.
“Dalam kejadian itu, suspek empat lelaki dan seorang perempuan terbabit menegur ketiga-tiga mangsa ketika berada di sebuah pusat beli belah di bandar raya ini dan memujuk ketiga-tiga mangsa untuk lepak di rumah tumpangan mereka di Kampung Air.
“Ketika berada di rumah tumpangan berkenaan, semua mangsa diumpan untuk menghisap vape berperisa baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, semua mangsa menuruti pelawaan suspek dan ketiga-tiga mereka tidak sedarkan diri sebelum mangsa dipercayai dirogol.
“Ketika semua mangsa tersedar pada tengah malam, mangsa mendapati mereka dalam keadaan tidak berpakaian manakala empat lelaki dan seorang perempuan terbabit menghilangkan diri.
“Ketiga-tiga mangsa mengesyaki mereka telah dirogol lalu membuat laporan polis,” katanya.
Menurutnya, bertindak atas laporan yang dibuat oleh mangs, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu berjaya mengesan dan menangkap kelima-lima suspek, pada 27 April lalu.
“Semua suspek berusia 13 hingga 17 tajun ditahan di sekitar bandar raya ini dan Telipok Ria, Tuaran.
“Semua suspek direman sehingga 5 Mei 2023 untuk siasatan mengikut Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati remaja terutama remaja perempuan supaya tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan kenalan lelaki yang baru dikenali dan tidak mencuba untuk menghisap vape kerana akan membawa kepada risiko keselamatan diri. – Info X