Search

Hajiji jalani pembedahan keluarkan batu karang minggu depan

April 30, 2023

admin



KOTA KINABALU: Jabatan Ketua Menteri (JKM), hari ini, menjelaskan, kesihatan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berada pada tahap yang baik.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan perlu dimasukkan ke hospital minggu depan bagi menjalani pembedahan kecil untuk mengeluarkan batu karang.

Kenyataan itu sekali gus menjawab spekulasi berhubung keadaan kesihatannya berikutan khabar angin sebelum ini yang mengatakan beliau sakit.

“Beberapa hari lalu timbul spekulasi mengenai kesihatan Ketua Menteri dan beliau berterima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan kesihatannya.

“Ketua Menteri ada merasai kesakitan tetapi keadaan kesihatannya baik dan beliau dijadualkan dimasukkan ke hospital untuk pembedahan kecil bagi mengeluarkan batu karang pada minggu depan,” kata satu kenyataan oleh JKM, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji hadir pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama pada majlis itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua menteri Kabinet kerajaan negeri.

Kira-kira 20,000 pengunjung pelbagai kaum dari sekitar Kota Kinabalu dan daerah berhampiran menghadiri rumah terbuka itu yang bermula sejak jam 10 pagi tadi hingga jam 2 petang.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada lebih 70 orang golongan kurang bernasib baik termasuk warga tua, orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim.

Hajiji turut mengiringi Anwar bertemu pengunjung yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri berkenaan.

Anwar dan Hajiji meninggalkan majlis pada kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas keberangkatan pulang Tun Juhar dan Isteri. – Info X