Search

Lelaki dipenjara 30 bulan kerana curi kabel

May 2, 2023

admin



KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap seorang lelaki tanpa dokumen yang sah selepas dia mengaku bersalah mencuri kabel.

Tertuduh yang dikenali sebagai Mustamil Amil, 30, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.

Dia dituduh mencuri kabel milik Telekom Malaysia Bhd bernilai RM7,500 di lokasi berdekatan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Jalan Kebajikan, Luyang, di sini pada jam 12 tengah hari, 14 April lalu.

Berikutan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh diajak seorang rakannya datang ke lokasi kabel terbabit untuk memotongnya sebelum dikesan kakitangan syarikat yang kemudian menghubungi polis.

Anggota polis yang tiba tidak lama kemudian berjaya memberkas tertuduh, namun rakannya dapat melarikan diri.

Ketika mitigasi, Mustamil memohon hukuman ringan, namun pegawai pendakwa, Inspektor Albert Basiri meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan jenayah yang dilakukan membahayakan orang ramai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Turut mengiringi tertuduh ke mahkamah pagi tadi ialah Pegawai Penyiasat SM Deanivo Sittin. – Info X