Search

PPM rampas 200 kilogram ikan, udang

May 3, 2023

admin

SANDAKAN: Padah menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan, sebuah bot nelayan bersama juragan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sandakan.

Menerusi Op Taring Gelora jam 10.30 pagi, kelmarin bot nelayan dijuragani lelaki tempatan berusia 62 tahun ditahan kerana menunda pukat di kawasan dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai Tanjung Nuing hingga Tanjung Pandaras Teluk Labuk, Beluran.

Bot nelayan yang ditahan kerana menangkap hasil laut di kawasan larangan di perairan Teluk Labuk, Beluran. – Foto PPM

Kawasan ini adalah kawasan larangan perikanan yang diwartakan di perairan Teluk Labuk.

Turut dirampas ikan dan udang dipercayai hasil tangkapan yang dianggarkan seberat 200 kilogram.

Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM2,000. Juragan dan rampasan hasil laut diserahkan kepada Jabatan Perikanan cawangan Sandakan untuk tindakan lanjut.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan. – Info X