LABUAN: Misteri seorang remaja lelaki yang tidak pulang ke rumah akhirnya terjawab selepas mayatnya ditemui terbaring di laluan pejalan kaki, di Jalan Tanjung Purun, di sini, semalam.
Mayat Ryandeigo Roselee, 18, beralamat di Kampung Pauh Tulid Sook, Keningau ditemui oleh abang mangsa sebelum menghubungi pihak polis jam 12.05 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan awal polis mendapati abang mangsa keluar berjalan kaki untuk mencari adiknya kerana tidak pulang ke rumah pada 11.30 malam selepas selesai bekerja di sebuah hotel.

“Abang mangsa kemudian menemui adiknya (mangsa) terbaring tidak sedarkan diri di laluan pejalan kaki berkenaan disyaki terkena renjatan elektrik.
“Polis kemudian menghubungi Hospital Labuan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Perbadanan Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahmad berkata, pihak ambulans kemudian tiba dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“SESB dan Perbadanan Labuan bertindak pantas memutuskan bekalan elektrik di lokasi sebagai tindakan pencegahan dan menyiasat punca kejadian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di laluan pejalan kaki berkenaan disyaki akibat terkena renjatan elektrik pada tiang lampu jalan,” katanya.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya memaklumkan bahawa lokasi kejadian iaitu laluan pejalan kaki Jalan Tanjung Purun menuju ke bangunan Ujana Kewangan ditutup sementara waktu sehingga polis mendapat pengesahan daripada agensi terbabit.
“Laluan alternatif bagi pejalan kaki yang dapat digunakan oleh orang ramai di Jalan Merdeka berhadapan dengan padang Dataran Labuan.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan yang terdapat bekalan/punca arus elektrik bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku khususnya pada musim hujan ketika ini di Labuan,” katanya. – Info X