Search

Remaja lelaki kantoi intai, rakam wanita dalam tandas

May 5, 2023

admin



RANAU: Remaja lelaki ditahan selepas berkelakuan tidak senonoh mengintai dan merakam seorang wanita di dalam tandas di sebuah stesen minyak, di daerah ini.

Kejadian berlaku pada 29 April lalu, suspek berusia 19 tahun menggunakan telefon bimbitnya merakam mangsa ketika sedang membuang air kecil di dalam tandas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, sebelum kejadian mangsa dan suaminya dalam perjalanan ke Kota Kinabalu dan berhenti seketika di stesen minyak berkenaan untuk berehat dan menggunakan tandas.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin.

Katanya, ketika mangsa sedang membuang air kecil, dia tersedar terdapat pergerakan mencurigakan di atas dinding tandas berkenaan dan terkesan sebuah telefon sedang membuat rakaman terhadap mangsa.

“Mangsa kemudiannya bergegas keluar dari tandas dan telah mengenal pasti lelaki disyaki melakukan rakaman itu.

“Dengan bantuan suaminya, lelaki itu ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Ranau dan diserahkan kepada polis sementara mangsa membuat laporan susulan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Simiun berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan dan menangkap semula suspek terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/Seksyen 8(1)(e) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah (OKKNS),” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa waspada dengan kes seumpama ini yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab serta tidak bermoral.

“Orang ramai juga diminta sentiasa membantu polis menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah, kemalangan jalan raya serta kejadian membabitkan salah laku kepada pihak polis untuk tindakan segera,” katanya. – Info X