KOTA KINABALU: Kolokium timbang tara antarabangsa berhubung isu timbang tara yang dikaitkan dengan tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu sedang dirancang untuk dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kolokium itu dirancang dimulakan di Kuala Lumpur pada 9 Mei, seterusnya di beberapa lokasi lain termasuk di luar negara.
Katanya, Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan dan Kekebalan Negara Dalam Timbang Tara Komersial pada Selasa depan itu dianjurkan dengan kerjasama Asian International Arbitration Centre (AIAC) dan Universiti Malaya.
Beliau berkata, kolokium pertama itu akan memberi pencerahan yang lebih terperinci berhubung isu timbang tara yang dikaitkan dengan tuntutan yang dibuat pihak mengaku Sultan Sulu.
“Kolokium itu akan memberi fokus, antara lainnya kepada kesan Konvensyen Bagi Mengiktiraf Dan Menguatkuasa Award Timbang Tara Antarabangsa (Konvensyen New York) dan kekebalan kedaulatan negara.
“Kolokium yang sama juga dirancang untuk diadakan di Sabah dan beberapa negara, antaranya United Kingdom selepas ini,” katanya dalam kenyataan selepas Sesi Libat Urus Status Semasa Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Kesultanan Sulu Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, di sini, hari ini.
Antara yang hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick; bekas Ketua Menteri Sabah selaku ADUN Dilantik, Datuk Yong Teck Lee dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Khairul Dzaimee, berkata Kerajaan Persekutuan juga mengambil usaha diplomatik berterusan melalui Kementerian Luar bagi menerangkan isu sebenar dan implikasi tindakan penuntut (pihak mengaku waris Kesultanan Sulu) di negara lain.
“Pihak urusetia mengambil maklum semua persoalan dan isu yang dibangkitkan oleh ADUN Sabah, pegawai kanan Kerajaan Negeri Sabah dan pemimpin tempatan yang hadir pada sesi soal jawab dan akan mengkaji sewajarnya untuk tindakan berkaitan,” katanya.
Katanya, sesi yang dibuat hari ini adalah untuk memaklumkan perkembangan status semasa isu tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu).
Beliau berkata, sesi itu dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Kementerian Luar; Kementerian Komunikasi dan Digital; Jabatan Peguam Negara; Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah serta agensi di bawah Kerajaan Negeri Sabah.
“ADUN Sabah, pegawai kanan Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan serta pemimpin tempatan yang hadir dimaklumkan mengenai tindakan yang sudah, sedang dan akan diambil oleh Kerajaan Persekutuan bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Malaysia.
“Mereka juga dimaklumkan bahawa selain daripada tindakan perundangan oleh peguam antarabangsa yang dilantik kerajaan, tindakan perhubungan awam dan media peringkat antarabangsa dan tempatan turut dibuat melibatkan Kementerian Komunikasi dan Digital, BERNAMA dan firma perhubungan awam antarabangsa yang dilantik kerajaan,” katanya.
Katanya, satu Sekretariat Khas juga ditubuhkan bagi menangani tuntutan terbabit secara lebih sistematik dengan hala tuju dan strategi yang jelas khususnya bagi menangani tuntutan pihak penuntut di Perancis, Belanda, Sepanyol dan Luxembourg.
Sebelum ini, katanya BHEUU laman web malaysia-sulucase.gov.my turut dilancarkan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Menteri Luar dan Menteri Komunikasi dan Digital bagi memberi penerangan yang tepat dan menangkis pemesongan fakta oleh penuntut.
Isu tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu dikaitkan dengan award atau anugerah diperolehi pihak terbabit daripada mahkamah timbang tara antarabangsa dalam hal berkaitan tuntutan mereka terhadap Sabah. – Info X