TAWAU: Pemuda Umno Kalabakan meminta Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy supaya menjelaskan status keahliannya dalam parti itu ketika ini.
Ketuanya, Muhammad Alias Udin berkata, Suryady perlu menyatakan pendirian kerana tindak tanduknya sebelum ini dilihat cenderung kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Beliau berkata, Suryady ketika ini sudah menjadi tumpuan banyak pihak kerana tindakannya seolah-olah melebihkan parti Gagasan Rakyat berbanding Umno.
Malah, katanya, banyak spekulasi tercetus yang menunjukkan bekas Ketua Umno Kalabakan itu ingin melompat ke parti pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Sejak akhir-akhir ini juga, Suryady tidak lagi menggunakan logo Umno dan Barisan Nasional (BN) setiap kali turun padang ataupun menganjurkan majlis-majlis rasmi.
“Lagi parah, terdapat program yang dilaksanakan melibatkan ahli hanya disebut sebagai persatuan badan bukan kerajaan (NGO) secara umum sahaja, bukannya ahli Umno” katanya ketika dalam sidang media, di sini, hari ini.
Muhammad Alias berkata, ketiadaan logo Umno dan BN dalam poster papan iklan ucapan Hari Raya Aidilfitri Suryady baru-baru ini turut menjadi tanda tanya penduduk di daerah ini.
“Terbaharu, papan iklan beliau hanya memaparkan gambarnya bersama Hajiji dan wakil rakyat Gagasan Rakyat sahaja, selain jelas terpampang logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Tindakannya itu telah mengecewakan Pemuda Umno Kalabakan yang banyak membantu sehingga dia (Suryady) menang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 dan Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu,” katanya.
Muhammad Alias turut memohon pucuk pimpinan Umno negeri dan pusat supaya memandang serius perkara itu supaya ahli akar umbi Umno Kalabakan lebih jelas.
“Kami Pemuda Umno Kalabakan mahukan pemimpin yang setia, bukannya yang tiada pendirian dan tidak menghormati mandat rakyat,” katanya. – Info X