Search

4 warga Filipina ditahan cuba seludup 3.06 tan minyak masak bersubsidi

May 7, 2023

admin

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, semalam, menahan empat lelaki warga Filipina kerana disyaki cuba menyeludup keluar 3.06 tan minyak masak bersubsidi.

Tangkapan dan rampasan oleh anggota PPM Wilayah Empat Semporna itu dilakukan di perairan Tobo-Tobo, menerusi Op Taring Gelora, kira-kira 5 petang.

Menerusi operasi itu, bot ronda PPM Semporna yang sedang menjalankan tugas ronda terlihat sebuah bot mencurigakan di kawasan bakau berdekatan.

Empat warga Filipina yang cuba seludup keluar minyak masak bersubsidi ditahan PPM di perairan Tobo-Tobo, Semporna. – Foto PPM

Ketika dihampiri, terdapat empat lelaki berada di dalam bot berkenaan.

Hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati sebanyak 90 karung berisi minyak masak paket satu kilogram yang semuanya sebanyak 3,060 paket.

Pemeriksaan ke atas keempat-empat lelaki itu mendapati mereka warga Filipina berusia lingkungan 22 hingga 30 tahun seterusnya ditahan dan semua minyak masak dirampas.

Nilai rampasan minyak masak dianggarkan bernilai RM18,360 manakala jumlah keseluruhan nilai rampasan bot dan minyak masak berjumlah RM43,565.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan barangan berkenaan.

Katanya, tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Semporna untuk tindakan lanjut. – Info X