Search

Bomba selamatkan lelaki jatuh dari tebing

May 8, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seorang lelaki terpaksa diangkat naik dengan bantuan anggota bomba selepas terjatuh dari tebing ketika menggunakan titian ke botnya di Todak Waterfront, Jalan Tun Fuad Stephen, di sini, tengah malam tadi.

Mangsa berusia lingkungan 30 tahun yang cedera di kepala dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengah malam.

Katanya, sepasukan 13 pegawai dan anggota bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke tempat kejadian.

“Setiba di lokasi terdapat seorang lelaki jatuh ketika meniti dari tebing ke bot menggunakan titian.

“Tindakan pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa seterusnya membantu menaikkan mangsa ke tebing menggunakan stretcher dan tali,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, mangsa yang cedera di kepala kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada 12.46 tengah malam,” katanya. – Info X