KOTA KINABALU: Seramai 500 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang sambutan Pesta Kaamatan di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya sudah membuat perancangan bagi memastikan perjalanan keseluruhan Pesta Kaamatan ini sentiasa dalam keadaan yang selesa.
“Kira-kira 500 pegawai dan anggota polis terutama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) digerakkan sepanjang kaamatan selama sebulan ini untuk mengawal lalu lintas di seluruh negeri ini.
“Langkah ini bagi mempastikan perjalanan keseluruhan sambutan kaamatan sentiasa dalam keadaan selasa dan terkawal,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Menurutnya, pada penghujung Mei ini, menjangkakan sejumlah pengunjung yang ramai akan datang ke Dewan Hongkod Koisaan Kesatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Penampang.
Bagaimanapun katanya, polis juga telah mengenal pasti beberapa jalan alternatif untuk dilalui oleh pengguna yang berurusan antara Kota Kinabalu dan Penampang.
“Jadi kita akan memberikan nasihat kepada orang awam nanti untuk menggunakan jalan alternatif bagi mengelak kesesakan di kawasan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kejadian kecurian kabel, Jauteh berkata mengikut statistik bagi tempoh Januari hingga April 2023 ini, sebanyak 58 kes kecurian kabel direkod di seluruh daerah di negeri ini
“Kota Kinabalu merekodkan kecurian kabel yang tinggi iaitu 21 kes diikuti Penampang (8 kes); Kudat (7 kes); Papar (6 kes); Tuaran (4 kes) dan Kota Marudu (3 kes).
“Bagi Beaufort, Keningau, Kota Belud dan Sipitang masing-masing merekodkan dua kes manakala Lahad Datu satu kes,” katanya. – Info X