BELURAN: Polis memburu seorang lelaki warga asing yang dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di Telupid, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada pengadu iaitu ibu mangsa sendiri.
Katanya, ibu mangsa melaporkan bahawa melihat suspek berusia 40 tahun itu cuba merogol anaknya di kawasan belakang kedai.
“Dalam laporannya, pengadu yang sedang mencari anaknya melihat suspek membawa mangsa ke kawasan belakang kedai.
“Bagaimanapun, suspek dilihat segera menutup zip seluarnya sebelum beredar dari lokasi berkenaan selepas menyedari kehadiran ibu mangsa,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek merupakan jiran kepada pengadu dan selalu melihat suspek bermain dengan mangsa.
“Pengadu juga memaklumkan bahawa anaknya selalu mengadu sakit di bahagian kemaluan ketika mahu membuang air kecil.
“Kanak-kanak terbabit dibawa ke Hospital Duchess Of Kent, Sandakan semalam untuk pemeriksaan lanjut oleh pihak pakar,” katanya.
Kassim berkata, susulan itu, usaha mengesan suspek masih giat dijalankan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. – Info X