Search

Pekerja pelancongan perlu jaga tingkah laku

May 8, 2023

admin

KOTA KINABALU: Semua pengusaha yang terbabit dalam aktiviti pelancongan di negeri ini diminta supaya memastikan pekerja mereka menjaga tingkah laku agar tidak melakukan perkara yang tidak sewajarnya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, di tempat kerja, pengusaha mesti sentiasa ingatkan dan nasihati pekerja supaya patuhi SOP yang ditetapkan.

“Pelancong yang datang ke negeri ini semakin meningkat, sebab ada keyakinan mereka (pelancong) bahawa Sabah adalah tempat yang selamat.

“Jadi sentiasalah pantau pekerja dan ambil pendekatan memberi nasihat dan peringatan untuk memastikan pekerja menjaga tingkah laku agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak sewajarnya,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas empat Jawatan Ketua Jabatan PDRM Kontinjen Sabah di Auditorium IPK Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan seorang pelancongan wanita warga China dicabul oleh pembantu jurulatih selam skuba ketika melakukan aktiviti selam di perairan sebuah pulau peranginan di Semporna, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata, suspek yang terbabit telah ditahan sebaik laporan polis dibuat oleh mangsa yang juga seorang pelancong China.

“Kes ini memang ada dan telahpun berlaku dia (suspek) cium pipi mangsa dan tindakan tangkapan ke atas suspek sudah dijalankan sebaik laporan dibuat oleh mangsa.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, mangsa berusia 25 tahun itu mendakwa dicium oleh seorang pembantu jurulatih selam skuba ketika membantunya melakukan aktiviti selaman.

Kejadian itu tular di media sosial Facebook dengan perkongsian beberapa keping gambar termasuk gambar mangsa dicium ketika melakukan aktiviti selam. – Info X