KOTA KINABALU: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Henry Saimpon berkata, beliau tidak akan mempertahankan jawatannya itu pada pemilihan SAFA yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Bekas pemain negeri itu berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk menerajui kepimpinan SAFA.
“Ya (tidak akan bertanding pada pemilihan kepimpinan SAFA), kita beri peluang kepada muka-muka baharu, paling penting mereka yang dipilih nanti adalah individu yang cintakan bola sepak negeri ini dan bukan sekadar hanya mahu memegang jawatan.
“Kepimpinan sebelum ini telah memberikan yang terbaik untuk membangunkan bola sepak di Sabah dan kepimpinan terdahulu juga berjaya akhiri kemarau 23 tahun apabila muncul juara Liga Premier pada 2019.
“Saya harap usaha membangunkan bola sepak Sabah diteruskan oleh kepimpinan baharu nanti termasuk dalam mencungkil bakat-bakat baharu menerusi program-program pembangunan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Henry dipilih sebagai Naib Presiden persatuan itu dalam pemilihan persatuan itu pada 2018 dan beliau juga dilantik sebagai pengurus skuad Sabah pada 2018 dan 2019.
Kejayaan paling manis Henry bersama skuad negeri pastinya apabila dinobatkan sebagai juara Liga Premier 2019 seterusnya layak beraksi di Liga Super hingga kini.
Sementara itu, Henry turut sependapat dengan kenyataan Timbalan Presiden SAFA, Datuk Juil Nuatim yang mahukan perlembagaan persatuan itu ditegakkan, dihormati dan dilaksanakan dengan tegas.
“Perlembagaan harus dihormati dan dituruti, itu adat berpersatuan, jadi saya berharap mesyuarat agung dan pemilihan nanti telus dan dilaksana berdasarkan perlembagaan,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal tempatan melaporkan, mesyuarat agung SAFA yang dijadualkan pada 13 Mei ini dijangka panas.
Juil antara pemimpin paling lantang yang mahukan setiap perkara dilakukan SAFA harus mematuhi peraturan dan saluran undang-undang.
Pada minggu lalu juga, turut tular di media sosial senarai cadangan kepimpinan baharu SAFA yang dikatakan mendapat restu daripada Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor untuk melobi diberi kemenangan oleh perwakilian dalam mesyuarat agung itu.
Berdasarkan senarai itu, rata-ratanya dibarisi individu dari satu parti politik yang memonopoli sepenuhnya persatuan itu. – Info X