Search

Lima rumah, dewan serbaguna atas air musnah terbakar di Semporna

May 14, 2023

admin

SEMPORNA: Lima rumah atas air di Kampung Pulau Larapan Hujung, di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, sebuah dewan serbaguna turut musnah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Abdul Kadir Halalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.49 tengah hari.

Keadaan rumah atas air yang terbakar di Kampung Pulau Larapan Hujung, Semporna.

Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama sebuah bot Kevlar digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati api sudah mula marak dan memusnahkan beberapa buah rumah.

“Pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan sumber air terbuka daripada laut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menghadapi kesukaran menjalankan operasi disebabkan rumah di kawasan berkenaan terlalu rapat dan jenis tidak kekal.

“Namun pasukan bomba sampai ke lokasi dan berjaya mengawal kebakaran serta menyelamatkan beberapa buah rumah berhampiran.

“Setakat ini, kita mendapati kebakaran membabitkan lima rumah dan sebuah dewan serbaguna sahaja,” katanya.

Abdul Kadir berkata, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.56 petang,” katanya. – Info X