KOTA KINABALU: “Sedih kerana saya dan adik saya Mohamad Zuhaikal berkongsi tarikh lahir sama pada 7 Disember.
“Selalunya kami sambut hari lahir bersama, tapi tahun ini saya hanya menyambut seorang diri,” kata Mohd Zuhairy Mohd Zaidy, 28, abang kepada Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20.
Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20, adalah seorang daripada lima pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu yang maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dengan treler di Jalan Sulaman, Tuaran, semalam.
Menurut abangnya, arwah adalah seorang yang tidak pernah menyusahkan keluarga, selain cukup berminat dalam bidang elektrik.

“Dia memang minat dalam elektrik. Bila habis belajar nanti, dia ada banyak perancangan untuk buka bisnes sendiri.
“Terakhir kami berhubung pada 25 Ogos lalu menerusi panggilan video bersama ibu bapa dan adik-beradik. Selalunya dia periang, tapi waktu itu agak pendiam.
“Ibu saudara kami lebih banyak bercakap dengan dia ketika itu. Tak sangka itu pertemuan terakhir kami,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), di sini, pada Sabtu.
Katanya, dia dan keluarga dimaklumkan mengenai tragedi itu oleh pensyarah IKM sebelum mereka bergegas ke Kota Kinabalu pagi tadi.
“Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini. Cuma saya harap anak-anak muda yang memandu supaya berhati-hati di jalan raya, jangan terbawa-bawa emosi dan elakkan memandu laju,” katanya.

Suasana pilu turut menyelubungi HQEI apabila mayat arwah dibawa keluar untuk dinaikkan ke dalam van jenazah sebelum dikebumikan di Tawau.
Rakan-rakan arwah yang hadir tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika jenazah dibawa menaiki van.
Difahamkan, arwah yang menuntut dalam jurusan Diploma Kompetensi Elektrik (Domestik & Industri) di IKM Kota Kinabalu, sepatutnya menamatkan pengajian pada tahun depan.
Dalam kejadian jam 2.09 petang semalam, lima pelajar IKM maut selepas MPV yang mereka naiki bertembung dengan treler.
Mangsa ialah Mohammad Ikhwan Kurniawan, 20; Harianto Anuar, 20; Danial Sarag Jimmy, 20; Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20; dan Neil Stanley Pletinie, 20.
Semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan. – Info X