Search

Pinjam jaket abang permintaan terakhir arwah Harianto

September 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: “Cuma itu saja permintaannya, pinjam jaket daripada abangnya untuk dipakai ke perkelahan bersama rakan. Tak sangka itulah kenangan terakhir sebelum dia pergi buat selama-lamanya,” kata Anuar Warparman, 61.

Anuar ialah bapa kepada Harianto Anuar, 20, seorang daripada lima pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu yang maut dalam kemalangan ngeri membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota dengan treler di Jalan Sulaman, Tuaran, semalam.

Katanya, anak kedua daripada 11 beradik itu tidak pernah menyusahkan keluarga malah sentiasa meyakinkan mereka bahawa dirinya baik-baik saja.

“Harianto sebenarnya bercita-cita mahu menjadi pakar pendawaian elektrik selepas tamat pengajian Diploma Kompetensi Elektrik (Domestik & Industri).

“Sebelum balik ke asrama Jumaat lalu (29 Ogos), arwah sempat bersalam dengan ibunya dan semua adik-beradik. Saya tanya ada duit atau tidak, katanya ada. Bila kakaknya mahu beri duit, dia menolak sebab katanya dia masih ada.

“Yang buat saya sebak, cuma jaket itulah satu-satunya permintaan dia. Dia minta pinjam daripada abangnya untuk digunakan ketika berkumpul dengan rakan. Tak sangka ia jadi permintaan terakhir sebelum dia pergi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), di sini, pada Sabtu.

Anuar (duduk dua dari kiri) ketika berada di perkarangan Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Anuar berkata, dia dimaklumkan mengenai tragedi itu oleh pihak IKM dan rakan-rakan anaknya sebelum mereka bergegas ke Kota Kinabalu.

“Ibu arwah paling terkesan. Sampai sekarang masih tak percaya arwah sudah tiada.

“Namun, kami sekeluarga reda dengan takdir ini dan mohon orang ramai doakan kesejahteraan arwah di alam sana,” katanya sayu.

Sementara itu, rakan sebilik dan sekelas mangsa, Erfan Hermanto, 23, berkata, kali terakhir dia bertemu Harianto ialah pada Khamis lalu sebelum mereka bergerak ke Kota Belud.

“Saya sempat pesan kepadanya jaga diri kerana saya bergerak dulu dengan rakan lain. Dia jawab ‘okay’. Itulah komunikasi terakhir kami.

“Kami sama-sama sekelas sejak mula masuk asrama. Dia seorang rakan yang baik, rajin membantu dan tidak pernah berkira.

Rakan arwah Harianto yang turut hadir di perkarangan Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

“Sepatutnya tahun depan kami habiskan Diploma Kompetensi Elektrik (Domestik & Industri) bersama,” katanya.

Dalam kejadian jam 2 petang semalam, lima pelajar IKM Kota Kinabalu maut selepas MPV dinaiki bertembung dengan treler.

Mangsa ialah Mohammad Ikhwan Kurniawan, 20; Harianto Anuar, 20; Danial Sarag Jimmy, 20; Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20; dan Neil Stanley Pletinie, 20.

Semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan. – Info X