Search

PRN17: Langkah Kinabalu ikhtiar bermaruah berikutan kegagalan kepimpinan Hajiji – Bung Moktar

September 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata Langkah Kinabalu yang berlaku pada Januari 2023 bukan pengkhianatan, sebaliknya satu ikhtiar bermaruah selepas melihat kegagalan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, kepemimpinan Hajiji rapuh dan tidak berintegriti, selain didakwa mengkhianatinya berhubung jawatan menteri Kabinet yang dijanjikan kepadanya selepas PRN16 pada September 2020.

Dakwanya, perkara itulah yang menjadi pengkhianatan sebenar dialami UMNO ketika mula-mula bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini.

“Jangan cuba menuding jari kepada UMNO. Pengkhianatan sebenar bermula pada hari pertama jemaah menteri Sabah mengangkat sumpah di Istana Negeri, apabila Hajiji menipu saya berhubung jawatan Menteri Kabinet dengan menukar jawatan yang telah dipersetujui bersama dengan jawatan lain tanpa pengetahuan UMNO Sabah. Di istana pun dia boleh menipu!

“Ketika itulah GRS menunjukkan wajah sebenar mereka, politik yang dibina atas muslihat dan penipuan. Bagai musang berbulu ayam, berpura-pura setia tetapi hakikatnya rakus mencakar kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, beliau sedia berdebat dengan sesiapa saja mengenai ‘Langkah Kinabalu’ termasuk Ketua Menteri sendiri.

“Kalau Nizam Titingan mahu wakil Ketua Menteri pun boleh, kita boleh berdebat di mana sahaja, bukan hanya menjerit di TikTok seperti ayam berkokok di waktu subuh tetapi takut turun ke gelanggang.

“Politik bukan pentas jual bahasa basi di media sosial, ia medan hujah dan kebenaran,” katanya.

Bung Moktar berkata, BN Sabah tidak pernah lari daripada prinsip, malah tidak akan menjadi pak turut kepada politik lompat dan tidak akan bersekongkol dengan penipuan atau tunduk kepada kerakusan kuasa.

“Dalam politik, ada peribahasa lama yang mengingatkan kita ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’.

“Biarlah nama UMNO BN Sabah kekal harum kerana mempertahankan maruah, bukan busuk kerana bersekongkol dengan pengkhianatan,” katanya.

Sementara itu, berkata keputusan BN tidak bekerjasama dengan GRS bukti kukuh UMNO Pusat menghormati autonomi UMNO Sabah.

Katanya, ia adalah satu pengiktirafan bahawa suara, maruah dan hak orang Sabah mesti ditentukan oleh UMNO Sabah sendiri.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata semalam beliau berada di DUN Sebatik, iaitu sebuah kubu kuat BN yang menjadi saksi setia perjuangan.

“Saya yakin bahawa DUN Sebatik akan kembali dimenangi BN pada PRN17 nanti. Rakyat Sebatik tahu menilai siapa yang konsisten memperjuangkan nasib mereka, dan siapa pula yang hanya muncul ketika mahu mengaut kuasa,” katanya. – Info X