Search

Adik ditemui lemas, operasi SAR dua beradik tamat

May 17, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beradik yang dipercayai lemas di sungai berhampiran kawasan perkhemahan di Polumpung Melangkap Baru, di sini, tamat sepenuhnya petang ini selepas mangsa kedua ditemukan meninggal dunia.

Mangsa, Daniel Abdullah, 18, ditemukan orang awam pada jam 12.04 tengah hari di Sektor A kira-kira 200 meter dari lokasi tempat mandi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 8.50 pagi dengan pencarian dibahagikan kepada tiga sektor.

Katanya, Sektor A membabitkan pencarian menyelusuri sungai dari lokasi mangsa dilaporkan hilang di Polumpung Melangkap hingga ke Sondot View Camp sejauh 3.4 kilometer.

“Sektor B pula menjalankan pencarian dari kawasan SK Narinang hingga ke Sondot View Camp sejauh 5.2 kilometer.

“Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Team Rafting melaksanakan pencarian di Sektor C menggunakan kaedah rafting bermula dari lokasi kejadian hingga ke Pekan Taginambur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, sebaik ditemukan, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 12.30 tengah hari untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi SAR kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.30 petang selepas pasukan penyelamat memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

Operasi membabitkan 13 anggota BBP Kota Belud bersama bantuan PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan NGO Team Rafting.

Terdahulu, dalam kejadian semalam, abang mangsa, Zul Hakim Abdullah, 23, ditemukan pasukan bomba pada jam 10.18 pagi kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia oleh KKM. – Info X