Search

Gagasan Rakyat ambil langkah berani, progresif pinda struktur bahagian – Azrul Ibrahim

May 17, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pindaan perlembagaan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bagi menjadikan kawasan Parlimen sebagai bahagian baharu parti itu disifatkan sebagai langkah berani dan progresif dalam memperkukuh parti.

Pemangku Ketua Pemudanya, Datuk Azrul Ibrahim, berkata pindaan itu juga adalah satu langkah strategik bagi memantapkan keupayaan Gagasan Rakyat menghadapi cabaran politik.

“Gagasan Rakyat mengambil langkah berani dan progresif dalam memperkukuhkan parti melalui penyusunan semula struktur organisasi daripada 74 Bahagian kepada 26 Bahagian.

“Langkah ini bukan sekadar perubahan pentadbiran, tetapi satu keputusan strategik demi memastikan parti terus tersusun, lebih fokus, mantap dan bersedia menghadapi cabaran politik masa depan.

“Pemuda melihat keputusan ini sebagai bukti kematangan perjuangan parti dalam memastikan kekuatan akar umbi dapat digerakkan secara lebih efektif dan tersusun.

“Perubahan struktur tidak pernah memadam nilai perjuangan mana-mana ahli, malah menjadi ruang untuk seluruh jentera bergerak lebih bersatu dan kuat sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau mengulas pindaan perlembagaan Gagasan Rakyat yang diluluskan sebulat suara oleh perwakilan pada Persidangan Agung Khas parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Persidangan itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Presiden Gagasan Rakyat dan turut dihadiri semua pemimpin tertinggi parti berkenaan.

Azrul berkata, saya Pemuda Gagasan Rakyat akan terus menjadi pemangkin kepada pemerkasaan parti, sejajar peranan anak muda yang bukan sekadar pelapis, malah menjadi tenaga penggerak utama perjuangan masa depan Sabah.

“Kita mahu membina generasi muda yang berani, responsif, berfikiran progresif serta mampu mendepani cabaran dunia baharu termasuk teknologi AI, ekonomi digital dan persaingan global,” katanya.

Jelasnya, kestabilan politik yang dibawa Kerajaan GRS membuka lebih banyak peluang pembangunan kepada rakyat melalui pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, pendidikan dan kebajikan rakyat yang lebih menyeluruh.

Katanya, ia adalah asas perjuangan yang mesti terus dipertahankan dan diperkasakan.

“Perjuangan ini bukan mengenai jawatan atau kedudukan semata-mata, tetapi memastikan Sabah terus dipimpin dengan stabil, bermaruah dan berpaksikan kepentingan rakyat.

“Rumah perjuangan ini telah dibina dengan pengorbanan ramai pejuang di akar umbi dan rumah ini, kitalah yang akan terus jaga bersama,” katanya. – Info X