SANDAKAN: Seorang lelaki ditemukan maut dalam bilik tidur rumahnya di Bandar Karamunting, di sini, selepas dipercayai ditetak abang kandung menggunakan senjata tajam, Ahad lalu.
Kejadian itu disedari kira-kira jam 5.30 petang apabila ibu mangsa yang baru pulang ke rumah mendapati pintu bilik anaknya terhalang sebelum terlihat tubuh lelaki berusia 43 tahun itu dalam keadaan berlumuran darah.
Ketika itu, hanya mangsa dan abangnya dipercayai suspek berada di dalam rumah.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, mengesahkan tangkapan seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga abang mangsa.
Katanya, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Sandakan kira-kira jam 8.45 malam hari sama sebelum membawa polis menemui seluar berlumuran darah serta tiga bilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala, belakang telinga, perut serta tangan akibat senjata tajam.
“Bedah siasat akan dijalankan dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Difahamkan, jiran turut mendengar bunyi orang mengerang pada pagi Jumaat lalu namun tidak menyangka ia berkaitan insiden berkenaan.
Suspek yang dikatakan mempunyai masalah mental dan tidak bekerja turut tinggal bersama keluarga di rumah berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Info X