Search

Aduan Facebook bongkar lima pengedar syabu di Bongawan

September 14, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Aduan orang awam menerusi Facebook rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah membawa kepada penahanan lima lelaki dipercayai pengedar dadah dan rampasan 87.22 gram syabu di Kampung Silat, Bongawan, di sini.

Malah, serbuan menerusi Op Gempur Khas oleh pasukan JSJN Sabah hasil aduan itu turut menemukan dua laras senapang angin dan satu objek menyerupai pistol di rumah berkenaan.

Operasi pada 10 September lalu membabitkan dua tangkapan berasingan dengan keseluruhan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM5,000.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, dalam tangkapan pertama, dua lelaki tempatan berusia 20 dan 43 tahun ditahan selepas pemeriksaan menemukan satu paket besar serta 64 paket kecil berisi bahan disyaki syabu seberat 32.87 gram.

“Dadah dianggarkan bernilai RM2,000 itu ditemukan di dalam sebuah beg yang diserahkan seorang daripada suspek. Tiga telefon bimbit turut dirampas.

“Ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dalam tangkapan kedua, tiga lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 24 tahun ditahan selepas seorang daripada mereka ditemukan memiliki 48 paket plastik pelbagai saiz berisi 54.35 gram bahan disyaki syabu.

Katanya, dadah dianggarkan bernilai RM3,000 itu dirampas bersama sebuah telefon bimbit dan Perodua Myvi, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

“Ujian saringan awal mendapati seorang daripada tiga suspek positif dadah, manakala dua lagi negatif,” katanya.

Alhusin berkata, dua laras senapang angin dan objek menyerupai pistol itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar untuk tindakan lanjut.

“Permohonan reman dibuat terhadap semua suspek, manakala dadah dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

“Risikan dan usaha mengesan sumber bekalan dadah terbabit masih diteruskan,” katanya. – Info X