TUARAN: Seorang lelaki cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan polis sebelum ditahan bersama 69.61 gram syabu di Taman Telipok Ria, Telipok, di sini, kelmarin.
Suspek warga Filipina berusia 21 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan menggunakan kekerasan minimum dalam Ops Gempur Khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah pasar raya kira-kira jam 7.30 malam.
“Ketika tindakan tangkapan dilakukan, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis.
“Suspek akhirnya berjaya ditahan sebelum pemeriksaan terhadap beg galas hitam diserahkannya menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, dadah seberat 69.61 gram itu dianggarkan bernilai RM4,000 dan sebuah telefon bimbit turut dirampas bagi membantu siasatan.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke pejabat JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X