Search

Agensi KDN siap sedia hadapi bencana akibat Monsun Timur Laut

October 29, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 66,042 anggota dan 10,540 aset Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedia diatur gerak bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di seluruh negara.

Menerusi satu kenyataan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), berkata musim monsun berkenaan dijadual bermula pada awal November ini kebiasaannya membawa hujan lebat berserta angin kencang dan berisiko menyebabkan banjir di lokasi berisiko.

“Daripada jumlah itu, PDRM akan mengatur gerak 17,216 anggota sumber manusia berserta 9,936 aset pelbagai jenis.

“RELA pula bersedia dengan 47,100 anggota berserta 457 aset dan diikuti dengan APM seramai 1,726 anggota dan 147 aset bersedia untuk diatur gerak di seluruh negara.

“Antara peranan yang akan dilaksanakan anggota ketiga-tiga agensi terbabit termasuklah pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik di tempat bencana, rondaan dan pemantauan kawasan berisiko bencana,” katanya.

Selain itu, katanya anggota ketiga-tiga agensi turut terbabit dalam penugasan di Pusat Pemindahan Sementara, Pusat Pangkalan Bekalan Hadapan, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dan penugasan pasca bencana banjir.

Kenyataan itu menyebut, PDRM juga akan bertindak sebagai Komander Operasi Bencana seperti yang ditetapkan dalam Arahan NADMA No 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.

“KDN menasihatkan seluruh rakyat Malaysia yang berisiko terkesan akibat bencana banjir untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia, sentiasa berwaspada dan bertindak mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan perkara yang tidak diigini berlaku.

“Kementerian juga ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir dengan menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03-2266 3444 / 03-2266 3451 atau menghubungi talian MERS 999 untuk bantuan kecemasan.

Bagi laporan terkini dan sahih berkaitan bencana, orang ramai boleh layari www.portalbencana.nadma.gov.my. – Info X