Search

Agensi teknikal buat penilaian cadangan mitigasi banjir di DUN Lumadan

July 27, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Tiga agensi teknikal turun padang meninjau cadangan kerja mitigasi banjir di beberapa lokasi yang sering terjejas akibat bencana itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, di sini, pada Isnin.

Agensi terbabit, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) turun padang bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lumadan.

Tinjauan itu diketuai sendiri Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Ruslan Muharam selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan.

Mengulas mengenai program turun padang itu, Ruslan berkata ia bagi membuat penilaian awal terhadap keadaan sistem saliran, jajaran sungai dan keperluan penambahbaikan infrastruktur berkaitan.

Katanya, cuaca hujan ketika lawatan itu memberi peluang kepada pihaknya bersama agensi teknikal melihat sendiri keadaan aliran air dan sistem saliran sedia ada di beberapa kawasan yang sering terjejas apabila berlaku hujan berterusan dan banjir.

“Lawatan ini penting bagi membolehkan agensi teknikal membuat penilaian lebih menyeluruh terhadap keperluan di lapangan, termasuk cadangan pembinaan box culvert, pembesaran dan pendalaman jajaran sungai sedia ada serta cadangan jajaran sungai baharu bagi membantu meningkatkan kelancaran aliran air,” katanya.

Beliau berkata, antara lokasi yang diberi perhatian ialah Jalan Bangkalalak, Jalan Suasa dan Jalan Batandok Lubak yang sering berdepan masalah apabila berlaku banjir, bukan saja menyebabkan laluan terjejas malah meningkatkan risiko keselamatan pengguna jalan raya akibat arus air yang deras.

Dalam masa sama, Ruslan berkata penglibatan JTU amat penting bagi memastikan cadangan jajaran sungai yang dikenal pasti melalui laluan yang bersesuaian dan sedapat mungkin mengelakkan gangguan terhadap tanah milik persendirian.

“Hasil lawatan ini akan membantu agensi berkaitan menyediakan penilaian teknikal dan anggaran kos untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan bagi pertimbangan selanjutnya,” katanya.

Beliau berharap usaha bersepadu bersama agensi teknikal itu dapat membantu memperkukuh sistem saliran serta mengurangkan impak banjir demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat DUN Lumadan. – Info X