Search

Dua stor barangan elektrik terbakar di Inanam

July 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua stor penyimpanan barangan elektrik di tingkat satu dan tingkat dua sebuah premis kedai di hadapan sebuah stesen minyak di Inanam, di sini, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 pagi itu, kebakaran membabitkan stor penyimpanan barangan elektrik di premis kedai jenis kekal, namun tiada mangsa dilaporkan terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.44 pagi.

Katanya, seramai 11 anggota bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah Revo kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 3.51 pagi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan dua stor penyimpanan barangan elektrik di tingkat satu dan tingkat dua premis berkenaan.

“Stor di tingkat satu terbakar kira-kira 30 peratus, manakala stor di tingkat dua terbakar sekitar 80 peratus.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 61 meter dengan dua pancutan. Bekalan air diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.10 pagi dan operasi pemadaman serta kerja-kerja pemeriksaan diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X