TAWAU: Sebuah kereta jenis Toyota Vios musnah 100 peratus dalam kebakaran di Jalan JPJ Hill Top, Kampung Sentosa, di sini, lewat malam Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 11.21 malam.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Water Tanker digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.30 malam dan mendapati sebuah Toyota Vios sedang terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada jentera bomba serta dua gelen buih (foam),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.50 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya.
Menurutnya, anggota bomba kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran atau risiko lain di lokasi kejadian.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.20 tengah malam,” katanya. – Info X