KENINGAU: Dua penghuni sempat menyelamatkan diri beberapa minit sebelum rumah kedai yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Patikang, Kampung Perkaya, di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, kedua-dua mangsa berjaya keluar dari rumah sebelum api marak dan memusnahkan keseluruhan bangunan jenis tidak kekal seluas 335 meter persegi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menghantar 10 anggota bersama sebuah jentera dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) ke lokasi.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian, pasukan bomba mendapati rumah kedai itu sudah terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 61 meter dengan empat pancutan, manakala bekalan air diperoleh daripada jentera bomba serta water tanker.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9 malam sebelum dipadam sepenuhnya pada jam 10 malam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua penghuni tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya keluar menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba.
Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya yang boleh mencetuskan kebakaran semula sebelum operasi ditamatkan.
“Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X