Search

Lebih 40 jenazah dikebumikan semula susulan tanah runtuh Sim-Sim

July 26, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Lebih 40 jenazah yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim, di sini, dikebumikan semula secara berjemaah dalam satu liang lahad, hari ini.

Proses pengebumian semula dilakukan di kawasan rata dalam tanah perkuburan sama oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan dengan kerjasama pelbagai agensi serta waris.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Sandakan, Rahmin Arman berkata, proses pemindahan dan pengebumian semula berjalan lancar hasil kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), polis, waris dan penduduk setempat.

“Proses ini dilaksanakan mengikut nasihat Mufti Sabah supaya semua jenazah disemadikan semula secara berjemaah dalam satu liang lahad selaras dengan hukum syarak serta bagi menjaga kemuliaan jenazah,” katanya.

Beliau berkata, proses itu turut dipantau Pengarah JHEAINS Sabah, Datuk Awang Juri Ag Tahir menerusi panggilan video bagi memastikan semua urusan berjalan mengikut tertib.

Menurutnya, kawasan perkuburan yang terjejas akan dicadangkan untuk diwartakan sebagai kawasan larangan pengebumian pada masa depan bagi mengelakkan risiko tanah runtuh dan menjamin keselamatan orang ramai.

Pada 11 Mac lalu, lebih 20 kubur dilaporkan rosak selepas berlaku tanah runtuh di tanah perkuburan berkenaan.

Dalam kejadian sama, seorang lelaki warga emas, Agustine Frederick J. Lingam, 76, turut dilaporkan maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah hotel di pusat bandar Sandakan. – Info X