KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sabah sebulat suara bersedia menyokong sebarang tindakan undang-undang bagi memastikan pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih negeri sekiranya rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah gagal mencapai penyelesaian menjelang 15 April ini.
Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Tuaran, Madius Tangau selepas mempengerusikan sesi town hall dan taklimat khas bersama Ahli Parlimen serta Senator dari Sabah berhubung tuntutan hak berkenaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Beliau berkata, sekiranya rundingan tidak membuahkan hasil dalam tempoh ditetapkan, mereka bersedia menyokong tindakan yang difikirkan wajar oleh Sabah Law Society (SLS) bagi memastikan hak perlembagaan Sabah dilaksanakan sepenuhnya.
“Perkara ini bukan isu kecil. Ia menyentuh hak negeri yang telah lama tertangguh. Kami amat prihatin dengan kadar perbincangan yang dilihat perlahan walaupun keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober tahun lalu amat signifikan kepada kedudukan kewangan dan hak Sabah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Menurutnya, selepas 136 hari daripada keputusan mahkamah itu, hanya tiga mesyuarat rasmi di peringkat pegawai diadakan, sedangkan kini hanya berbaki 44 hari sebelum tempoh 180 hari berakhir pada 15 April.
Beliau turut memaklumkan bahawa Memorandum Rayuan yang difailkan Peguam Negara Persekutuan merangkumi keseluruhan penghakiman mahkamah kecuali pengiktirafan hak 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, mesyuarat berkenaan mengulangi pendirian supaya Kerajaan Persekutuan menarik balik rayuan terbabit dan mempergiatkan rundingan dengan mengadakan mesyuarat lebih kerap dalam baki tempoh yang ada.
Sesi itu turut dihadiri beberapa pemimpin Sabah termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup; Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedict; serta beberapa Ahli Parlimen dan Senator Sabah lain.
Dalam pada itu, Madius berkata Ahli Parlimen Sabah turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan sistem penjejakan kutipan hasil Persekutuan bermula 1974 bagi mengenal pasti, mengukur dan menyimpan data tahunan secara lebih teratur.
Katanya, sistem itu penting bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dari segi ketelusan dan akauntabiliti berkaitan hak hasil perlembagaan negeri.
“Perjuangan ini bukan untuk mana-mana individu atau parti. Ini soal maruah dan hak rakyat Sabah. Jika rundingan gagal, kita tidak akan teragak-agak untuk berdiri teguh di belakang tindakan undang-undang demi memastikan hak 40 peratus Sabah dilaksanakan sepenuhnya,” katanya. – Info X