TUARAN: Taktik seorang lelaki menjadikan tepi jalan di Taman Telipok Ria sebagai lokasi mengedar dadah terbongkar selepas dia dicekup sepasukan polis dalam Ops Gempur Khas, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, suspek berusia 37 tahun diberkas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas cuba melarikan diri sebaik dihampiri polis yang memperkenalkan diri.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, tangkapan dibuat hasil risikan dan maklumat awam yang diterima pihaknya berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui 35 tiub plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang disimpan dalam dua plastik sederhana besar.
“Turut dirampas dua tiub plastik kecil berisi bahan sama serta wang tunai RM90 dipercayai hasil jualan dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, keseluruhan rampasan dadah dianggarkan seberat 7.58 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM1,000.
Alhusin berkata, susulan tangkapan itu, polis kemudian membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Telipok Fasa 3 dengan dipandu arah suspek, namun tiada barang salah ditemui.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah berkenaan adalah miliknya dan dipercayai aktif mengedar sejak dua bulan lalu di sekitar Taman Telipok Ria,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja itu kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, JSJN Sabah akan terus mempergiat operasi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini tanpa kompromi. – Info X