Search

Aktiviti bom ikan, ‘spearfising’ makin berleluasa, Skuad Menyelam gesa tindakan segera

May 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kelab Skuad Menyelam Sabah menggesa pihak berkuasa di negeri ini supaya meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti pengeboman ikan dan penangkapan ikan menggunakan senapang panah (spearfishing) yang semakin berleluasa.

Presidennya, Sim Fui, berkata amalan penangkapan ikan yang memusnahkan hidupan marin itu meningkatkan ancaman terhadap ekosistem marin dan industri menyelam di Sabah.

“Tindakan yang memusnahkan ini bukan saja merosakkan biodiversiti marin kita, malah juga mengancam nyawa penyelam, merosakkan terumbu karang yang penting untuk pelancongan Sabah dan sumber kehidupan kepada komuniti nelayan pesisir pantai.

“Mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu mesti berdepan dengan hukuman paling berat mengikut undang-undang, tiada alasan untuk meringnkan hukuman atas apa yang mereka lakukan.

“Aset laut Sabah tidak ternilai harganya dan kita tidak boleh hanya berdiam diri kerana melindungi laut kita bukan hanya memelihara alam sekitar.

“Ia juga penting untuk menjamin masa depan komuniti pesisir pantai dan mengekalkan sektor pelancongan yang bernilai berbilion ringgit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, pengeboman ikan dan penggunaan senapang oanah untuk menangkap ikan terutama di zon popular boleh melumpuhkan reputasi Sabah sebagai destinasi perdana menyelam di wilayah ini.

Pada masa sama, beliau turut menggesa agar kerjasama lebih kuat di antara agensi penguatkuasa, operator menyelam dan kumpulan pelindung bagi menghalang penghapusan habitat marin Sabah.

Pada 2019, dua warga China dan seorang jurulatih selam tempatan terbunuh akibat terkena letupan bom ikan ketika menyelam skuba di perairan Semporna.

Berdasarkan Jabatan Perikanan negeri, industri selam skuba membawa lebih RM500 juta pendapatan ke Sabah setahun.

Sementara itu, berkongsi pengalaman, seorang ahli Kelab Skuad Menyelam Sabah, Monica Chin, berkata beliau bersama pasukan selamnya pernah berdepan tiga letupan bom ikan dalam satu sesi selaman.

“Ia menakutkan, malah pernah berlaku dalam sehari ada lapan kejadian letupan bom ikan di kawasan yanbmg sama.

“Kita juga menerima laporan mengenai kegiatan menyelam skuba untuk memanah ikan (spearfishing) di kawasan seperti Kota Kinabalu, Sepanggar dan tapak selam popular di Kota Belud.

“Penyelam hanya menunggu masa untuk mendapat kecederaan disebabkan kegiatan memanah ikan dan akhirnya menjejaskan industri menyelam,” katanya.

Beliau berkata, kekurangan sumber dan tenaga manusia untuk melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan di laut tidak boleh lagi dijadikan alasan.

“Ketika pandemik COVID-19, agensi penguatkuasa berjaya melaksanakan kawalan larangan pergerakan dan memantau kawasan yang luas dengan berkesan.

“Tahap koordinasi dan kesegeraan itu kini sepatutnya diarahkan kepada usaha melindungi aset alam sekitar marin kita dengan serius,” katanya.

Kelab Skuad Menyelam Sabah yang turut dikenali sebagai Deus Diving Club (DDC) ditubuhkan pada Jun 2022, kini dianggotai lebih 100 ahli dari pelbagai latar belakang profesional. – Info X