Search

Mayat lelaki hilang ketika memukat ikan ditemui tidak sempurna

May 5, 2025

Info X Reporters

SIPITANG: Lelaki yang hilang dipercayai dibaham buaya ketika memukat ikan di Sungai Mengalong, Kampung Banting, di sini, Khamis lalu, ditemui hari ini.

Mayat Punggut Madin, 52, ditemui dalam keadaan tidak sempurna oleh orang awam, pada jam 12.20 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Penolong Penguasa Bomba, Calvin Joe Jeafery berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima dimulakan pagi tadi.

“Pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain dan orang awam menjalankan SAR menyusuri sungai sejauh lapan kilometer menggunakan bot.

“Mangsa ditemui oleh orang awam pada jam 12.20 tengah hari. Jarak hampir 2.3 kilometer dari lokasi Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dengan keadan tubuh mangsa yang tidak sempurna,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian menerbangkan satu unit drone untuk memastikan tiada bahaya lain wujud sebelum memasuki anak sungai berkenaan.

“Pasukan penyelamat kemudian memasuki anak sungai bagi pengesahan penemuan dan seterusnya mengambil mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis.

“Operasi ditamatkan kira-kira jam 2.30 petang,” katanya.

Terdahulu, Punggut Madin dilaporkan hilang ketika memukat ikan bersama beberapa rakannya di sungai berkenaan jam 3 petang, Khamis lalu.

Mangsa disedari hilang ketika menarik pukat dan saksi menyatakan mangsa disambar buaya. – Info X