KUDAT: Seorang remaja lelaki lemas manakala empat lagi rakannya berjaya diselamatkan dalam kejadian di Sungai Empangan Milau, Jalan Garau, di sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Ryan, 16, bersama empat rakannya dipercayai datang ke tempat berkenaan untuk tujuan memancing.
Mangsa bersama rakannya kemudian berenang ke kawasan tanah di tengah sungai dengan jarak kira-kira 50 meter dari tebing sungai.
Ketika berenang ke lokasi berkenaan, mangsa tenggelam dan lemas akibat kepenatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.01 petang.
Katanya, seramai 11 anggota termasuk pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, empat mangsa lelaki yang terkandas berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.
“Pasukan bomba seterusnya membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sepanjang tepi sungai untuk mencari mangsa yang dilaporkan lemas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat.

“Kira-kira jam 5.40 petang ini, mangsa ditemui oleh pasukan bomba tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Tindakan pengecaman mangsa dilakukan oleh ahli keluarganya sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya. – Info X